KAJI SEMULA SYARAT PENGELUARAN i-SINAR KWSP AKAUN 1
Menjadi tidak adil melebal rakyat Malaysia tidak pandai menguruskan kewangan sebagai alasan untuk tidak memberi kelonggaran untuk pengeluaran akaun 1 KWSP, lebih-lebih lagi selepas pelbagai keluh resah rakyat yang terjejas ketika pendemik Covid-19.
Selepas pelbagai pertimbangan dibuat dan diambil kira maka i-SINAR dibuat secara bersasar, bermula dengan pengumuman pengeluaran berkala RM500 sebulan ketika belanjawan tempoh hari sehinggalah syarat baru pengeluaran on off 10% sehingga RM10000, bagi memenuhi permintaan rakyat dan sekaligus memenuhi tanggungjawab kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat.
Namun, masih ada beberapa kerisauan dan keluhan didengari, persoalan demi persoalan yang keluar dari segala sudut meminta beberapa kajian dipertimbang dan diperhalusi.
Di antara persoalan yang timbul
S: Memang tujuan untuk meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19, tetapi bagaimana mahu memastikan mereka yang memohon pengeluaran nanti adalah dalam kalangan yang benar-benar terjejas akibat pandemik itu?
J: MTUC berpendapat pengawalan boleh dibuat dengan pengeluaran bersyarat kepada semua pencarum. Pencarum boleh diberi pilihan pengeluaran mengikut keperluan masing-masing. KWSP juga boleh mengeluarkan garis panduan pengeluaran kepada pencarum yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan secara drastik bagi tujuan sokongan pengeluaran.
S: Ada juga pihak berpandangan jika pengeluaran Akaun 1 KWSP tidak dibenarkan, mereka yang terjejas mungkin terpaksa meminjam dengan institusi kewangan atau along disebabkan terhimpit.
J: Kadar pengangguran saban hari semakin meningkat. Apabila ketua keluarga kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan, maka kesan terhadap keperluan harian seperti makan, minum serta tempat tinggal sudah tidak mampu disediakan seperti dahulu. Hal ini dikhuatiri akan memberi kesan psikologi kepada pekerja, anak dan tidak mustahil mampu meruntuhkan institusi keluarga.
Kehilangan pekerjaan atau kekurangan pendapatan turut menjejaskan pendapatan isi rumah. Maka ada kemungkinan langkah mudah adalah dengan meminjam daripada institusi kewangan, along atau ceti haram. Masalah hutang yang bertambah akan semakin meruncing merangkumi ansuran pinjaman perumahan, kenderaan, bayaran utiliti dan sebagainya, sekali gus akan memberi kesan emosi serta psikologi bagi individu terbabit, selain mampu menjurus kepada gejala sosial serta jenayah mahupun keganasan rumah tangga.
S: Kerajaan benarkan pengeluaran RM500 sebulan Akaun 1 selama 12 bulan, tetapi ramai juga yang membantah. Apakah kadar paling munasabah dan kaedah pengeluaran paling sesuai, secara bulanan atau sekali gus?
J: Seharusnya satu kajian secara menyeluruh dan komprehensif dibuat bagi mengenal pasti kadar atau jumlah minimum dan maksimum pengeluaran yang munasabah. Ia turut bergantung kepada keupayaan Akaun 1 pencarum. Mekanisme pengeluaran juga perlu dikenal pasti bagi kaedah pengawalan supaya dapat mencapai tujuan pengeluaran. Sewajarnya boleh memberi pilihan kepada pencarum untuk membuat pilihan sama ada secara bulanan atau sekali gus mengikut keperluan masing-masing. Sekiranya pencarum memilih secara bulanan, ia tertakluk kepada kelayakan jumlah yang boleh dibenarkan pengeluaran, berdasarkan kemampuan Akaun 1 masing-masing.
Petikan daripada Laman Web Berita Harian
Walau apapun kajian dibuat dan syarat serta kelonggaran diberikan, setiap satunya pastinya sudah diambil kira dan diteliti oleh pihak kerajaan dan KWSP khasnya.
Yang menjadi kerisauan rakyat adakah mereka layak? Jika tidak macam mana dengan nasib mereka, mereka mahu hak mereka. Namun dalam masa sekarang ini kita kena lebih kepada tanggungjawab dan bukannya hak kita semata-mata.
Apa yang penting, selepas pengeluaran i-SINAR berjaya direalisasikan, rakyat harus bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan mereka dengan baik dan membantu menjana pendapatan sekaligus mengerakkan semula ekonomi negara.
Cukup-cukup kita bercakap mengenai hak masing-masing, tiba masa untuk kita bercakap dan menjalankan tanggungjawab masing-masing pula.
Comments
Post a Comment